Home Novel Cinta JOM KAWEN SEMULA [REVAMP]
JOM KAWEN SEMULA [REVAMP]
painarena
10/1/2022 02:07:29
158,183
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

MALAM baru sahaja melabuhkan tirai. Umar sampai ke rumah bersama rasa penat yang memberat di bahu, di leher, di pinggang, di kepala, dan di perut terutamanya. 

Melihat Honda si isteri tiada di garaj, spontan dia mengeluh. Pergi jalan-jalan, ke? Pintu rumah dibuka, melihat keadaan rumah yang bersepah. Meja makan juga kosong. Langsung tidak berbeza dengan gaya semasa zaman bujang.

Mimi pada awal pernikahan tidak begini. Wanita itu pernah cuba memasak, tetapi hasil masakannya tidak menepati selera Umar. Tidak cukup.Tidak sedap. Taknak. Demi bertoleransi, mereka lebih kerap makan di luar berbanding di dalam rumah. Tetapi dah kenapa keadaan rumah lebih teruk bila dia balik kerja berbanding sebelum pergi kerja. Dengan keluh, sampah yang melimpah di tong sampah dapur dibuang ke luar rumah.

Kepala dipalingkan ke rumah yang jaraknya tiga rumah dari rumahnya itu. Wajah Aqi dan kembarnya dibayangkan. Lalu iPhone dikeluarkan dan anak perempuannya dihubungi.

“Ami.”

“Ye, ayah.”

“Korang dah dinner?”

“Dah.”

“Makan luar ke ma kau masak?”

“Ma masak.”

“Masak apa?”

“Ikan goreng. Sambal. Ayam kunyit.”

Terliur terus. “Ada lebih?”

“Ada?”

“Okay.”

Kemudian isterinya dihubungi.

“Ada mana?”

“Spa. Kenapa?”

“Abang balik dah ni. Awak tak masak makan malam?”

“Masaklah sendiri. Tak pun order Food Panda. Macamlah tak biasa.”

Tercabar sedikit naluri lelakinya. Aqi pun suri rumah macam kau tapi boleh je masak? Tapi lekas nafas ditarik dalam supaya bersabar dan peringatan diberi pada diri sendiri untuk jangan bandingkan isteri sendiri dengan perempuan lain di luar rumah. Dia dah manjakan isterinya untuk tidak memasak, jadi Mimi perlu dididik semula dengan perlahan-lahan supaya tidak terlalu terkejut. Dia dah nampak kapabiliti Aqi sebagai seorang isteri, jadi dia mahu Mimi turut ikut jadi macam tu.

“Abang nak rasa masakan awak boleh? Abang boleh tunggu.”

“Ala, lecehnya.”

“Awak balik pukul berapa ni?”

“Lama lagi kut. Mimi malaslah nak masak. Pergilah order GrabFood ke? Takkan tak reti.”

Makin banyak cadangan itu diberi, makin terbakar hatinya. Nafas dalam ditarik. “Come on, awak dah lama tak masak. Abang nak makan air tangan awak.”

“Orang cakap taknak, taknaklah!” balasnya, semakin keras, sekaligus memadamkan niat Umar untuk memujuk. “Dahlah minta last minute. Sayang kat luar ni! Tengah buat treatment lagi ni ha. Penat tau bila balik nanti terus nak masak!”

“Tak payahlah bebel...”

“Dah tu abang tiba-tiba buat perangai!”

Belakang kepala digaru. Sebal kerana dipersalahkan. “Kalau macam tu, takpelah. Baik-baik kat luar tu. Abang pergi makan kat luar je.”

“Pandai pun...” Marah bertukar manja. Suka kerana kebenaran untuk terus berhibur diberikan oleh sang suami.

Umar pula melepaskan keluh panjang. Briefcase dilontar ke sofa yang tergantung bra si isteri dan dia terus keluar dari rumah. Sasaran, tempat keluarganya berkumpul.

 

AQI baru selesai mandi di dalam bilik tidurnya. Dari dalam bilik, kedengaran bunyi gelak tawa anak-anaknya yang memecah dinding. Seketika, dia terkedu. Jarang budak berdua tu nak lepak di ruang tamu bersama-sama, apatah lagi nak ketawa bersama-sama. Ami dan Emir ialah dua individu yang sangat berbeza. Ami agak kasar manakala Emir tidak malu nak menerokai sifat feminin walaupun masih bersikap gentleman. Tapi memandangkan mereka dah sama sekolah, mungkin ada inside joke yang dikongsikan. Ini progress yang elok, kan?

Ah, elok pula moodnya nak melipat baju malam ni. Mungkin dia boleh menyertai riuh di luar.

Rambut yang basah dibalut dengan tuala. Sambil berkemban, dia keluar dari bilik tidur.

“Korang gelakkan apa—ya Allah, Umar?!!”

Di ruang tamu, kembarnya tengah bermain Jenga bersama si bapak di depan TV. Ketiga-tiganya menoleh padanya sambil membulatkan mata masing-masing. Melihat tiga pasang mata hazel bulat itu, comel benar rupanya hingga hati si emak mencair terus hingga lupa nak marah. Aqi bersumpah dia boleh membiasakan diri melihat pemandangan ini sehingga habis hayatnya.

Umar menjungkitkan kening melihat penampilan wanita itu. “Feewit!”

Lamunan Aqi pecah. Dia marah semula. “Kau buat apa kat rumah aku malam-malam macam ni?” Tuala di kepala ditanggalkan dan digunakan untuk menutup bahu. Langsung tak peduli jika harum rambutnya mengusik naluri si lelaki.

“Pergilah pakai baju dulu,” ujarnya sambil kembali fokus pada Jenga di depan mata.

Aqi menepuk sandaran sofa sekuatnya. “Dah malam, Mar! Kau buat apa kat rumah aku?!”

“Anak-anak aku minta ajarkan mereka accounting.” Selamba menipu hingga membuat Ami dan Emir berkerut dahi kerana dijadikan mangsa.

“Form 2 belum belajar accounting.” Sebelah pinggang dicekak.

Umar terkedu. Lalu Emir dan Ami dipandang sebelah menyebelah. “Korang minta ayah ajar apa?”

“Sejarah.”

“Geografi.”

“Benda tu baca je la! Panggil ayah datang ajar, buat apa?!” getusnya pula. Dia yang menipu, anak-anak pula kena marah. Ami dan Emir lalu ternganga.

Aqi menjilat gigi, menahan geram tanpa melepas renung pada tiga generasi itu berbual sesama sendiri. Kemudian Umar menoleh padanya kembali.

“Kau seriously nak terus berkemban?”

“Kau seriously nak duduk situ dan pandang aku berkemban?”

Tersenyum lelaki itu lalu. “I’m spending time with our kids. Kata nak jadi functioning family. Tak payahlah marah-marah...”

“Kalau macam tu, kenapa tak bawa Mimi sekali? Dia tak pernah jenguk anak-anak tiri dia walau sekali! Lagipun dia boleh datang sebagai penutup fitnah juga.”

“Nak sembang penutup fitnah sedangkan dia yang tak pakai baju dari tadi...” komen Emir pula.

“KAH! Be a dear and bump this, Emir.” Buku lima dihulur. Disambut bro fist oleh si anak bujang.

Bahana geram, Aqi mencapai bantal sofa dan dibaling ke kepala Umar. Lelaki itu hanya tertawa. Bila si ibu beralih ke ampaian di belakang rumah, Ami menoleh pada ayahnya yang masih mengekek. Terhibur benar rupanya.

“Ayah boleh gelak macam ni, eh...”

“Ayah boleh gelak macam-macam cara gelak. Huhuhu, hahaha,hihihehe....” balas Umar, masih dengan sengih panjang. Dengan penuh hati-hati,block Jenga dikeluarkan.

“Ami tak pernah tengok ayah macam ni... lagi-lagi bila dengan aunty Mimi.”

Sengih Umar memudar.

“Kalau dengan dia, ayah macammana?” soal Emir.

“Macam... macam biasa. Ayah senyum, tapi kosong. Ayah gelak tapi pendek. Rumah tu hambar sejak ayah menikah dengan dia... sampai aku lagi suka lepak kat vila.” Kacang dimasukkan ke dalam mulut.

Umar pula mendiam seketika, berfikir. Kata-kata anaknya betul. “Maybe sebab dia tak pandai buat lawak. Ma kau kelakar. Semua benda dia buat buat ayah geli hati...”

“Ayah selesa dengan ma,” komen Emir pula. Dan emaknya pun sama. Kalau tidak, masakan boleh selamba berkemban depan lelaki ajnabi malah marahkan benda kecil. Emaknya tidak pernah begitu sebelum ini. Sebuah sifat kebudak-budakan yang hanya keluar setelah bersatu semula dengan ayahnya. Lalu si anak lelaki merenung ayahnya dengan pandangan terharu.

Thats a given. She was once, mine. Ami, nak.” Mulut dibuka, dan anaknya melontar kacang ke mulutnya. “Tapi sekarang kami ada pasangan masing-masing. Jadi jangan compare ma kau dengan aunty Mimi lagi.” Kepala Ami ditolak sebelum menolah pada Emir. “Kau pula jangan tanya benda bukan-bukan.” Dahi si anak juga ditolak.

Emir terkaku bila kepala terasa terpelanting, lalu tersengih luas. Ini ke kekuatan seorang ayah? Lengan lelaki gergasi itu direnung, pada lehernya yang tebal, pada jambang tebal yang gah dan seluruh rias wajahnya. Muka ini yang ma suka sangat.... Di dalam gambar yang disimpan ibunya, lelaki ini tak berjambang. Sekarang, bulu muka itu penuh hingga menutup rahang dan lehernya. Lalu disentuh.

“Tebal.”

“Kau ada genetik ayah. Nanti kau ada kau punya jugak. Atas bawah.” Kepala terus diangkat menegak macam anjing mengesan tupai, sekaligus menghairankan kedua-dua anak. Umar pula meneliti Aqi yang entah berada di mana. “Dia tak dengar... good...” bisiknya pada diri sendiri.

Emir dan Ami hanya mengerut dahi.

Tak lama kemudian, wanita berkemban itu kembali. Bersungguh mengangkat sebakul pakaian bersih yang belum dilipat macam mengangkat dosa, kemudian dihentak bakul tersebut di depan mereka. Ada gaya marah di situ.

“Umar! Lagi sekali kau habiskan makanan aku, aku akan start charge kau, tau,” getusnya bersama kerut. Dahlah lapar!

“Bila pulak aku habiskan makanan kau?” Cuba nak menafi.

Lalu dia menuding ke meja makan. “Aku tak makan lagi...” tambahnya lagi dengan kerut kecewa.

“Laahhh...” Serentak ketiga-tiganya memasang muka bersalah. Ayah mereka datang dengan perut lapar, jadi mereka memberi semua yang ada di meja. Langsung tak terfikir itu portion ibu mereka.

Melihat tiga muka kesian itu membuat Aqi terpujuk terus. Kenapa comel sangat ketiga-tiganya, la haiiii. “Takpelah. Boleh bagi makan dekat orang lapar dah pun sejenis pahala...” luahnya, kalah teruk.

“Sembang pasal pahala sedangkan dia masih tak pakaibaju—"

Segumpal baju dibaling tepat ke muka Umar sehingga terhenti kata-katanya. “Kau cakap nak bond dengan budak-budak ni kan? Tiada usaha yang lebih sesuai yang boleh dibuat melainkan melipat baju bersama-sama.”

Umar merenung datar. “Kau suruh tetamu kau lipatkan baju kau?”

“Ohoho... cutenya kau boleh ingat kau ialah tetamu. Kau pecah masuk rumah aku malam-malam. Kau habiskan dinner aku... dan sarapan aku!” Mata dicerlangkan, mengingati perangai Umar yang kini kerap melawat rumahnya setiap pagi kerana nak makan sarapan. “Kau even boleh buatkan mini Putin dengan mini Kim Jong Un ni tengok TV dan main Jenga sama-sama. Kau kena sedar diri, kau bukan tetamu semata, wahai Umar Darius. Kau ialah bapak anak-anak kita!” luahnya sambil mencekak kedua belah pinggang,sejenis power pose yang memaksa Umar menerima fakta itu.

Tanpa dapat ditahan, Umar melepaskan senyum lebar dari telinga ke telinga, sekali lagi membuat si anak dara itu terkaku. Bawah sedar, Ami turut tersenyum lebar. Emaknya yang masih berdiri macam raja kini dipandang dengan sebuah cahaya pengharapan yang boleh terus menyinari hidup si ayah macam sinar mentari.

Namun kedua-dua kembar terperanjat bila Umar menggumpal baju di tangannya dan dibaling sekuatnya ke muka Aqi sebagai balas dendam.

“PERGI PAKAI BAJU DULU!!”

 

“AKU suruh makan kat luar, bukannya makan kat rumah janda kau!!”

Selajur penumbuk dihentam ke stereng Honda. Hati Mimi marah bukan kepalang. Dia sedang dalam perjalanan nak balik ke rumah tetapi semasa menunggu lampu isyarat, dia membuka Instagram, hanya untuk melihat update dari Instagram@JuniorSlayer.

Skrin menunjukkan keadaan ruang tamu di rumah Aqi. Emir di sofa sedang memeriksa string gitar akustik yang dihadiahkan si ayah. Di depan Ami pula ialah Aqi yang tengah melipat baju, manakala Umar di sebelahnya yang mulanya nak membantu, lalu berbaring kerana terlalu malas. Bila Aqi membebel, Umar bergolek ke arah wanita itu macam balak dan terus mendaratkan kepala ke paha Aqi.

Ami spontan berdekah hingga skrin teralih sedikit, sekaligus menampakkan Emir merenung si ayah dengan kerut judgemental.

Skrin terus merakamkan Aqi menolak kakinya berkali-kali untuk menghalau lelaki itu tetapi Umar berdegil. Bila hidung dijentik, barulah lelaki itu bangun.

Ami (suara di belakang skrin) : Ayah sejak jumpa ma gila betul la hahaha.

Umar: Ma kau memang berbakat buat orang jadi gila...(sambil menggosok hidung).

Ami: Bagi ayah kan, ma ialah perempuan yang macammana?

Umar menoleh sekilas: Ma kau jenis yang datang peluk kau dari belakang bila kau penat bekerja, lepas tu dia peluk pinggang kau ketat-ketat and then hentam kau ke belakang ala german surplex...

Emir tertawa. Aqi pula tidak membalas.

Ami (suara di belakang skrin): Bagi ma, ayah macammana?

Aqi: Pundek.

Ketawa Umar meletup ke langit hingga membuatkan skrin bergegar sedikit bahana terkejut. Kemudian rambut Aqi ditarik sebagai balasan, membuat wanita itu terjerit. Seterusnya pasangan cerai itu bergaduh ringan macam dua kanak-kanak, manakala Ami mengalihkan skrin ke wajah sendiri, memberi muka janggal pada penonton.

Skrin ditutup.

Hon di belakang mengejutkan Mimi. Ah, lampu trafik dah bertukar hijau. Terus brek tangan dilepaskan dan minyak ditekan terus. Sambil memandu laju ke rumahnya, dia menelefon Umar. Sekali dering, panggilan terus bersahut.

“Abang kat mana sekarang?!” marahnya terus.

“Kat rumah Aqi.” Laju juga Umar menyahut, malah berisi gelak tawa di belakang. Kejujuran itu membuat Mimi gamam. “Sayang dah balik ke?” soal lelaki itu lagi, masih dengan nada riang.

Innocent-nya gaya Umar membuatkan marah Mimi terhadang sedikit. “Sayang suruh abang makan luar, bukan kat rumah Aqi!” getusnya, masih mahu marah.

“Ami dengan Emir tarik abang ke sini bila abang cakap abang lapar. Tu la awak, lain kali masak untuk abang hahaha.”

Mimi mendengus. “Abang balik rumah sekarang!”

“Eh, asal suruh balik pulak.”

“Tu rumah janda abang!”

“Awak janganlah overthinking. Abang masih tak puas lepak dengan anak-anak abang. Budak-budak, cakap hai dekat mami kau,” tambah Umar lagi, mungkin sedang bercakap dengan anak-anaknya. Kemudian kedengaran hai dari Ami dan Emir. Mimi mendehem lagi.

“Aqi ada situ?” Topik ditukar.

“Ma dah masuk bilik.”

“Ma marah sebab ayah sengaja rosakkan baju yang dia dah lipat.”

“Ayah suka cari pasal ngan ma, kan?”

“Ayah, Ami nak buat Nes. Ayah nak?”

“Asal untuk ayah je! Buatlah untuk aku sekali!”

Suara kembar itu silih berganti, meriuhkan suasana di sebalik skrin. Bunyi ketawa Umar pula tenggelam timbul di belakang bahana pertelingkahan anaknya. Bahagianya lelaki itu tidak pernah dilihatnya begitu sekali selama ini. Kuasa Allah, hati Mimi melembut lalu. Marahnya tadi melupus terus macam bara kecil disimbah hujan.

“Sayang, abang masih tak puas melayan budak-budak ni. Lambat sikit abang balik.”

“Okay... tapi jangan balik lambat sangat... kalau Aqi mengayat abang, report terus kat sayang.”

“Hahaha. Love you.”

Panggilan putus. Samsung diletakkan di riba sambil merenung jalan raya. Dua manusia itu baru je saling menengking beberapa hari lepas, tetapi sekarang Umar sedang gelak ketawa di rumah Aqi sebab anak-anak mereka....

Kalau anak ialah strategi Aqi untuk mengikat Umar, Mimi juga sebenarnya ada anak. Seorang anak lelaki yang dilahirkan semasa dia berusia belasan tahun dahulu. Sebuah kesilapan hidup yang membuatnya dibuang keluarga. Anak lelaki itu diberi nama yang sama dengan Umar bagi membuktikan rasa cintanya pada lelaki itu walaupun ayah kandungnya tidak diketahui siapa, tetapi malangnya Umar tetap tidak memilihnya sebagai pasangan. Walaubagaimanapun, lelaki itu tetap membantunya melalui kesusahan hidup sebagai teen mom semasa orang lain melayannya macam sampah masyarakat. Atas kebaikan hati lelaki itulah Mimi jatuh hati sampai ke sudah.

Dipendekkan cerita, anak lelakinya yang dipanggil dengan nama Gorius oleh Ami, menghilangkan diri selepas menerima penumbuk padu dari Umar kerana cuba nak menodai Ami suatu masa dahulu. Seterusnya Gorius diharamkan untuk memasuki rumah Umar. Waima sekali pun Umar dan Ami tidak pernah bertanya tentang anak lelakinya lagi.

Mimi menarik nafas dalam. Siku ditongkat pada sisi tingkap sebelum menyulam jemarinya ke rambutnya. Mengingati sukanya Umar pada anak-anak Aqi yang cerdas minda dan sihat tubuh badan itu, hatinya panas tak semena-mena.

“Serba serbi aku kalah dengan dia...” keluhnya. Sesalan itu dihabiskan dengan ayat penyumpah di hujung kata.
Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh painarena